Showing posts with label Berita. Show all posts
Showing posts with label Berita. Show all posts

Tuesday, August 16, 2011

Pendaki Solo galak pelajar aktif kokurikulum

Sebahagian pelajar mengambil peluang untuk bergambar kenangan dengan Mohd Noor Mat Amin (empat dari kiri) dan Tiara Jacquelina selepas majlis perasmian Hari Kokurikulum SMK Seksyen 4, Kota Damansara, Selangor, baru-baru ini.

PENDAKI Solo Negara yang juga jurugambar Utusan Malaysia, Mohd. Noor Mat Amin berkongsi pengalaman mengenai kejayaan mencipta rekod dunia mendaki gunung Kinabalu sebanyak 111 kali dalam tempoh 111 hari kepada 1,500 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 4, Kota Damansara, baru-baru ini.

Beliau memberi suntikan semangat kepada pelajar supaya berdedikasi menghadapi cabaran dan rintangan untuk mencapai kejayaan.

Pada masa yang sama, Mohd. Noor turut menyarankan kepada pelajar agar menyedari bertapa pentingnya kegiatan kokurikulum di sekolah dan ia tidak harus diabaikan.

“Ibu bapa dan guru-guru harus berganding bahu untuk melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek supaya dapat melahirkan modal insan holistik di samping menggalakkan para pelajar aktif dalam aktiviti kokurikulum.

“Usaha murni Kementerian pelajaran dalam program satu murid satu sukan juga dilihat sebagai langkah yang positif untuk menggalakkan pelajar terlibat secara aktif dalam kegiatan kokurikulum,” katanya.

Selain itu, ujarnya, penglibatan pelajar dalam pelbagai kegiatan kokurikulum juga dapat mengisi masa lapang dan boleh membendung kegiatan yang tidak bermoral.

Aktiviti lain turut diadakan seperti pertandingan karom, basikal lambat, bola tampar, bola keranjang, sumpit dan memasak.

Turut memberi suntikan semangat kepada pelajar pada majlis itu ialah artis popular, Datin Seri Tiara Jacquelina.

Eduweb TV catat 500,000 pengguna Internet rumah sebulan

KLANG 15 Ogos - Portal EduwebTV yang diperkenalkan Kementerian Pelajaran sejak 2008 mendapat sambutan menggalakkan apabila mencatatkan purata 500,000 capaian sebulan dengan 33 peratus membabitkan pengguna Internet dari rumah.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, capaian tersebut dijangka dapat dipertingkatkan lagi apabila kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus capaian Internet dari rumah menjelang hujung tahun ini.

"Para pelajar yang menerima komputer riba 1Malaysia daripada kerajaan juga digalakkan menggunakan kemudahan yang diberikan itu bagi melayari portal EduwebTV yang dilihat dapat membantu mereka meneruskan pelajaran dari rumah di samping memudahkan mereka memperoleh maklumat dengan cepat, luas serta menyeluruh.

''Sebanyak satu juta unit komputer riba 1Malaysia yang sudah dan bakal diedarkan kepada pelajar terpilih untuk kemudahan pembelajaran yang salah satu daripadanya ialah mengikuti program EduwebTV yang mempunyai lapan saluran dan 3,185 rancangan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan komputer riba 1Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Idris Shah di sini, hari ini.

Mohd. Puad berkata, rancangan yang boleh diikuti menerusi EduwebTV ialah berita pendidikan bahasa Inggeris dan Malaysia, rancangan akademik, rencana, wawancara, kurikulum, interaktif dan siaran langsung arkib.

Terdahulu beliau menyerahkan sebanyak 667 komputer riba 1Malaysia kepada 12 sekolah di sekitar Parlimen Kapar, antaranya SMK Rantau Panjang, SMK Sungai Kapar Indah dan SMK Tinggi Klang.

Seorang penerima, S.Ranjini, 19, dari SMK Tinggi Klang berkata, pemberian komputer riba itu memudahkannya mendapat maklumat yang dikehendaki dengan cepat di samping membolehkannya memuat turun soalan-soalan peperiksaan yang lalu untuk rujukan.

''Selain itu, ia juga membolehkan saya mencari kenalan baru dari negeri lain dan bertukar pendapat," katanya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini.

Seorang lagi penerima, Muhammad Amirul Hizmi Adnan, 15, dari SMK Sungai Kapar Indah berkata, komputer riba itu akan digunakan dengan sebaik mungkin sebagai persediaan menghadapi Penilaian Menengah Rendah (PMR).

''Saya gembira kerana dipilih sebagai penerima komputer riba dan dengan adanya kemudahan itu, saya dapat memperoleh maklumat di hujung jari sahaja di samping membantu mempersiapkan diri saya menghadapi peperiksaan," katanya.

Sunday, March 6, 2011

Kursus Kenegaraan dimansuh

KUALA LUMPUR: Kursus Kenegaraan yang menjadi syarat wajib kepada penjawat awam untuk menerima anjakan gaji, dimansuhkan selaras pemansuhan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Mengikut surat edaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 17 Februari lalu, kursus kenegaraan dikecualikan kepada pegawai yang lulus PTK di Tahap Kecekapan 1 (TK1) dan pegawai yang mendapat aras IV di TK1, sekali gus melayakkan mereka dipertimbangkan anjakan gaji tahun ini.

Surat edaran bertajuk ‘Pengecualian Syarat Kursus Kenegaraan di TK1 dan Urusan Kenaikan Pangkat Selepas Pemansuhan PTK’ ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah menjelaskan pelaksanaan urusan kenaikan pangkat mulai 1 Januari lalu perlu diselaraskan terutama membabitkan pencapaian PTK.

Katanya, tarikh kenaikan pangkat pegawai yang lulus PTK adalah berdasarkan tarikh memangku atau tarikh lulus PTK iaitu mana yang terkemudian, manakala bagi pegawai yang belum lulus PTK, kenaikan pangkat berkuat kuasa selepas 1 Januari 2011.

Ketetapan itu hendaklah digunakan dalam menetapkan tarikh kenaikan pangkat pegawai yang terbabit ketika memperakukan kepada Lembaga Kenaikan Pangkat yang berkenaan sehingga ketetapan baru dikeluarkan.

“Ketua perkhidmatan atau ketua jabatan dalam menimbangkan pegawai bagi urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat boleh memberi keutamaan kepada pegawai yang lulus PTK tetapi ia juga tertakluk kepada syarat skim, merit, kesesuaian dan kepentingan perkhidmatan serta kriteria lain yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat,” katanya.
Awal bulan lalu, Berita Harian melaporkan dakwaan CUEPACS mengenai beratus penjawat awam yang berhak mendapat kenaikan gaji RM200 hingga RM400 sebulan selepas lulus PTK aras IV tahun lalu, tidak mendapatnya berikutan tindakan Biro Tatanegara (BTN) menghentikan Kursus Kenegaraan.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, dilaporkan berkata penjawat awam terbabit tidak menerima sebarang makluman daripada BTN berhubung kursus itu sehinggalah pihaknya menghubungi mereka dan dimaklumkan kursus berkenaan dihentikan sehingga Jun depan.

Lok yang menghubungi Berita Harian, kelmarin berkata pengecualian kursus kenegaraan akan memberi faedah kepada beribu penjawat awam yang sedang menunggu kenaikan pangkat, tetapi penjawat awam masih terikat dengan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) dan perakuan ketua jabatan untuk melayakkan mereka menerima anjakan gaji.

Wednesday, December 29, 2010

Badi 14 tahun berakhir



Pemain Malaysia, Safee Sali (kanan) meraikan bersama rakan sepasukan, S. Kunanlan (tengah) dan Safiq Rahim selepas menjaringkan gol sewaktu menentang Indonesia pada perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2010 di Jakarta, malam tadi. – REUTERS


JAKARTA – Sejarah tercipta di bumi Stadium Gelora Bung Karno, buat pertama kali dalam sejarah penganjuran Piala Suzuki AFF 2010 apabila Malaysia menjadi juara walaupun tewas 1-2 kepada Indonesia dalam perlawanan akhir kedua untuk meraih kemenangan melalui agregat 4-2, semalam.

Bertambah manis anak didik K. Rajagobal berjaya melakukannya di hadapan 95,000 penyokong fanatik Indonesia yang terpaksa menelan kepahitan bahawa Malaysia lebih berhak merangkul kejuaraan edisi kelapan Piala Suzuki.

Ternyata bekalan 3-0 yang dibawa dari Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad lalu cukup membantu kerana gol di tempat lawan yang dijaringkan oleh Safee Sali menjadi faktor penting mematahkan api perjuangan Indonesia yang mahu mencipta jaringan pendahuluan.

Bukan sekadar itu, penyerang negara, Safee Sali dinobatkan selaku penjaring terbanyak kejohanan Piala Suzuki AFF 2010 dengan lima gol mengatasi pesaing terdekat, Cristian Gonzales.

Gol tunggal Malaysia dalam perlawanan ini diilhamkan daripada gerakan pantas Mohd. Ashari Samsudin ketika Indonesia rancak menyerang dan pemain Terengganu itu melakukan hantaran jauh yang disambut dengan baik oleh Safee Sali.

Safee dengan tenang mengawal bola sebelum mendapat posisi terbaik melepaskan rembatan kencang melalui kaki kiri menewaskan Markus Harison untuk memberikan gol penting di tempat lawan.

Biarpun Indonesia dengan mendapatkan dua jaringan pada minit ke-71 melalui Mohamad Nasuha dan Muhammad Ridwan pada minit ke-87, ia sudah terlewat buat skuad Garuda bangkit mengatasi Malaysia yang menang dengan kelebihan agregat 4-2.

Penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat wajar diberikan pujian menggunung kerana beraksi cemerlang menghalang hajat Indonesia memburu gol yang lebih besar termasuk menyelamatkan sepakan penalti pada minit ke-18 yang diambil oleh Firma Utina.

Walaupun pertahanan negara yang dikemudi oleh Mohd. Muslim Ahmad dan Mohd. Fadhli Shas bocor sebanyak dua kali, ketenangan dan kesungguhan semangat juang pemain Malaysia bertahan jelas menjadi kunci utama kejayaan bersejarah Malaysia.

Apa yang penting, kejayaan merangkul Piala Suzuki AFF akan menutup mulut media dan peminat Indonesia yang tidak henti-henti melancarkan provokasi semenjak hari pertama skuad Malaysia tiba di Jakarta.

Malahan, sebelum perlawanan, mental pemain Malaysia didera habis-habisan oleh penyokong tuan rumah yang menyebut perkataan Maling! Maling! dan membuat bising semasa lagu kebangsaan Malaysia dimainkan.

Bertambah pahit buat pihak Indonesia, ini merupakan kegagalan kali keempat buat Indonesia selepas empat kali mencuba di pentas final.

Selain membawa pulang trofi AFF, Malaysia meraih wang tunai sebanyak A$$100,000 sementara Indonesia mendapat A$$ 50,000.

Pemain terbaik kejohanan Piala Suzuki AFF dirangkul kapten Indonesia, Firman Utina. – Utusan

Monday, December 27, 2010

”Teach For Malaysia” tingkat mutu pendidikan negara

KUALA LUMPUR, 24 Dis. - Program ”Teach For Malaysia” yang dilancarkan hari ini bakal melengkapi inisiatif penting yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan untuk meningkatkan mutu pendidikan di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, ini kerana program itu berkait rapat dengan dasar dalam Rancangan Malaysia ke-10 yang bertujuan membangunkan modal insan berkualiti.

"Sungguhpun fokus utama program ini adalah untuk membekalkan guru yang berkualiti kepada sekolah-sekolah berpencapaian rendah, program ini adalah berkait rapat dengan dasar di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.

"Usaha ini adalah teras kepada percambahan inovasi dan pertumbuhan ekonomi berpendapatan tinggi yang merupakan matlamat utama negara kita pada waktu ini,” katanya ketika berucap melancarkan program itu di sini.

Beliau berharap program itu akan dapat menarik minat graduan-graduan cemerlang akademik untuk menyumbang kepada sektor pendidikan.

Program ”Teach For Malaysia” atau ”Mendidik Demi Malaysia” berasaskan konsep mengajar sambil berbakti yang dipelopori oleh rangkaian global, Teach For All, yang memberi peluang kepada graduan cemerlang untuk berkhidmat kepada negara dengan menyertai profesion perguruan setelah menamatkan pengajian di universiti. - Bernama

Takwim Peperiksaan Awam 2011

SPM (U) : 13 Jun 2011- 14 Jun 2011 (2 hari)

UPSR : 13 Sept 2011- 15 Sept 2011 (3 hari)

PMR : 4 Okt 2011-6 Okt 2011, 10 Okt 2011-11 Okt 2011 (5 hari)

STAM : 12 Okt 2011-13 Okt 2011, 17 Okt 2011-19 Okt 2011 (5 hari)

SPM : 14 Nov 2011-14 Dis 2011 (16 hari)


sumber : engkabang.net

Sunday, December 19, 2010

Saringan literasi tiga kali setahun di sekolah

KANAK-kanak akan melalui tiga saringan setahun, bertujuan mengenal pasti sama ada meeka perlu mengikuti program Literasi da Numerasi (LINUS) jika mempunyai ketidakupayaan dalam pembelajaran.

Saringan akan dibuat pada Mac, Jun dan September.

Mengikut dokumen Program Transformasi Kerajaan Pelan Hala Tuju – Ringkasan Eksekutif, tujuan program itu adalah untuk memastikan menjelang tahun 2012, semua kanak-kanak mempunyai literasi asas (Bahasa Malaysia) dan kemahiran numerasi selepas tiga tahun pendidikan sekolah rendah.

Bagi tujuan itu, modul literasi dan numerasi yang baru dibentuk dengan konsep mudah difahami akan diajar lebih awal lagi dan lebih penekanan akan ditumpukan kepada aplikasi konsep yang dipelajari.

Latihan hampir 17,000 guru untuk mengajar modul baru LINUS juga telah berlangsung sejak November tahu lepas dan awal tahun ini.

Sehubungan itu, pemantauan dan penyelesaian intensif ke atas kira-kira 100 peratus sekolah yang tercorot oleh para pegawai dan pendidikan di peringkat negeri dan daerah akan dibuat oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Bagi memantapkan lagi program, fasilitator pakar yang dilantik di peringkat daerah, ditempatkan di Jabatan Pendidikan Daerah, bagi membantu guru literasi dan numerasi sekolah.

Kelas 2020: Sekolah lemah dipantau

KERAJAAN akan membantu sekolah yang kurang berdaya maju untuk melaksanakan impian kelas 2020, melalui program penambahbaikan pencapaian sekolah, dengan fokus memperbaiki pencapaian pelajar, dan menjadikan semua sekolah berprestasi tinggi menjelang tarikh keramat itu.

Bagaimanapun, sekolah yang telah menjalankan program penambahbaikan diminta meneruskan inisiatif mereka. Dalam kes ini, program penambahbaikan sekolah akan membantu memudahkan program sedia ada oleh pihak sekolah.

Ke arah itu, satu sistem pengumpulan data berpusat dan mekanisme bantu kendiri akan diperkenalkan bagi membolehkan guru menjejak dan mencapai maklumat tentang pencapaian sekolah masing-masing, dan apakah langkah yang boleh dilakukan untuk menambah baik.

Program itu yang dilancarkan baru-baru ini, bertujuan menangani isu kritikal tenaga kerja yang mampu berdaya saing - khususnya dalam mengejar impian menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Program penambahbaikan sekolah ini akan menjadi asas kepada usaha untuk semua sekolah mencapai standard sekolah berprestasi tinggi.

Semua pengetua dan guru besar akan diberi kuasa autonomi untuk mengurus tadbir sekolah, mengurus sumber yang sedia ada dan menghasilkan pelajar seperti mana yang diharapkan.

Program penambahbaikan sekolah terdiri daripada tiga elemen, yang akan dilaksanakan mengikut urutan berikut:

1. Pengkelompokan - Sekolah akan diberi penarafan mengikut kelompok pencapaian. Antaranya mengikut Piawaian Gred Purata Sekolah (GPS) dan Piawaian Kualiti Pendidikan Malaysia (SQEM). Status ranking ini akan dimaklumkan kepada sekolah pada setiap tahun.

2. Perkakasan penambahbaikan sekolah - Data keperluan khusus sesebuah sekolah akan dikumpul, membantu pentadbir sekolah membuat keutamaan dan perancangan, dan memudah cara; diskusi berterusan antara pihak sekolah dengan Jabatan Pelajaran Negeri.

3. Talian khidmat - Mengenal pasti ruang yang perlu diperakui berdasarkan bukti yang telah dikumpulkan, akan disalurkan dari Kementerian Pelajaran kepada sekolah, dengan sasarannya ialah para pengetua, pelajar dan ibu bapa - selain infrastruktur.

Sementara program sekolah berprestasi tinggi bertujuan meletakkan tahap sekolah pada satu kedudukan yang cemerlang, program penambahbaikan sekolah ini pula bertujuan meningkatkan mutu semua sekolah, serta menghubungkan segala inisiatif yang ada di KPM, seperti inisiatif baru kepada pentadbiran sekolah, program literasi dan numerasi (LINUS) serta transformasi kurikulum.

Program penambahbaikan sekolah lebih bersifat berpusatkan sekolah. Hal ini bagi membolehkan pengetua atau guru besar memiliki kuasa autonomi untuk melaksanakan program penambahbaikan - sama ada berkaitan hal pentadbiran sekolah atau penambahbaikan program keguruan masing-masing.

Program kali ini bukan lagi berfokus kepada kawasan atau sekolah tertentu. Program ini akan meliputi 10,000 buah sekolah di seluruh negara.

Pengenalan kepada inisiatif pengkelompokan sekolah adalah sebahagian daripada kelancaran program inisiatif dan tawaran baru kepada pengetua dan guru besar, dengan mutu perkhidmatan mereka menjadi pertaruhan.

Di bawah program penambahbaikan sekolah, pengkelompokan memberi gambaran kepada pencapaian sesebuah sekolah dan memudahkan untuk dibantu.

Kerajaan kini menggalakkan Sekolah Berasrama 1Malaysia dengan menjadikan sekolah berasrama semasa lebih berciri pelbagai kaum dalam komposisi pelajar dan menubuhkan sekolah asrama berkualiti tinggi yang terbuka kepada semua.

Selain itu, dokumen Program Transformasi Kerajaan juga mahu institusi latihan perguruan menyediakan guru yang mempunyai pengetahuan, daya kesedaran dan kemahiran yang menjadikan mereka sensitif terhadap latar belakang pelajar yang berbeza-beza dan menangani perhubungan antara kaum dalam kaedah yang positif dan proaktif.

Thursday, December 9, 2010

PTK digantikan dengan mengambil kira tugas hakiki

PUTRAJAYA: Satu sistem penilaian yang mengambil kira 'keunikan' setiap jabatan kerajaan akan diguna pakai bagi menggantikan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang ditamatkan mulai 1 Januari ini. Ketika PTK ditolak sesetengah kakitangan awam, sistem penilaian baru itu yang sedang dirangka oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan turut memberi penekanan kepada pencapaian individu dalam tugas hakikinya. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, berkata pada ketika ini, PTK ‘mengukur’ kecekapan pegawai secara sama rata tanpa banyak mengambil kira jurusan hakiki masing-masing.

“Tiap-tiap jabatan ada keunikan masing-masing jadi ia tidak boleh dinilai secara sama rata, misalnya jika kakitangan berada dalam bahagian pentadbiran tidak boleh sama dengan bahagian teknikal," katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Beliau berkata, sepatutnya PTK juga menekankan keunikan setiap jabatan itu
tetapi oleh kerana ia sudah menjadi budaya dalam perkhidmatan awam ia nampak seolah-olah diseragamkan.
Katanya, JPA diberi masa sehingga Jun depan untuk mengemukakan sistem penilaian baru itu seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada pembentangan Bajet 2011 lalu.

Beliau berkata, nama kepada sistem penilaian baru itu juga belum ditentukan.

Bagaimanapun, katanya, proses kenaikan pangkat kakitangan awam antara Januari hingga Jun depan akan diteruskan dengan keutamaan masih diberikan kepada mereka yang lulus PTK yang diduduki sebelum ini.

Menjawab soalan, katanya, sistem penilaian baru itu kelak juga akan mirip kepada kriteria Petunjuk Prestasi Utama (KPI) individu tetapi enggan menjelaskan terperinci.

Walaupun sesetengah kriteria akan berfokus kepada bidang hakiki kakitangan berkaitan, beberapa subjek seperti kenegaraan akan diteruskan dalam penilaian baru itu kelak kerana ia penting untuk seseorang kakitangan kerajaan.

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13/2010 yang disiarkan di laman web JPA sebelum ini menyatakan pelaksanaan PTK akan dihentikan berkuat kuasa 1 Januari ini selaras dengan pengumuman kerajaan dalam pembentangan Bajet 2011 pada Oktober lalu.

Justeru, lulus PTK bukan lagi syarat untuk kenaikan pangkat mulai 1 Januari ini.

PTK diperkenalkan dalam Sistem Saraan Malaysia (SSM) bermula 1 November 2002 bertujuan menggalakkan pembangunan diri pegawai perkhidmatan awam melalui pembelajaran berterusan, meningkatkan budaya organisasi pembelajaran dan melaksanakan pengurusan sumber manusia berasaskan kompetensi.

PTK dimantapkan pada 2005 dan dibuat pengubahsuaian pada 2008.

Bagaimanapun, peperiksaan itu menimbulkan pelbagai kontroversi kerana dikatakan ramai kakitangan terutama yang berpengalaman sukar menikmati kenaikan pangkat

Tuesday, December 7, 2010

Pendidikan kesihatan, reproduktif mulai 2011


Istilah pendidikan seks secara umumnya mungkin boleh membawa kepada satu persepsi atau pemahaman bahawa ia hanya layak untuk diketahui oleh golongan dewasa sahaja.

Sebahagian besar masyarakat tidak mahu anak-anak mereka yang mentah didedahkan dengan perkara itu malah kebanyakan ibu bapa sendiri malu atau tidak mahu untuk membincangkan mengenai pendidikan seks sebagai asas pemahaman anak- anak mereka.

Maka, tidak hairanlah jika banyak pihak terutamanya golongan ibu bapa akan melatah dan memberi pandangan negatif apabila Kementerian Pelajaran mengambil keputusan untuk memperkenalkan pendidikan tersebut di sekolah rendah bermula tahun hadapan.

Harus diingat bahawa pendidikan seks atau istilah sebenarnya Pendidikan Kesihatan, Reproduktif dan Sosial itu bukanlah bermaksud pendidikan mengenai teknik hubungan kelamin atau perkara-perkara yang tidak perlu diketahui oleh kanak-kanak.

Ia lebih menjurus kepada asas terhadap perkembangan badan, perhubungan, perkahwinan dan kekeluargaan, kemahiran kendiri, kesihatan dan tingkah laku seksual serta masyarakat dan budaya.

Pendidikan kesihatan, reproduktif dan sosial yang akan diperkenalkan ini termasuk dalam subjek Pendidikan Kesihatan di bawah Modul Teras Asas bagi Tahap Satu (tahun satu hingga tiga) Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang akan bermula pada Januari 2011.

Subjek lain yang terdapat di bawah Modul Teras Asas ini termasuklah Pendidikan Jasmani, Bahasa Malaysia (BM), Bahasa Inggeris (BI), Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Matematik dan Pendidikan Islam/Moral.

Elemen perkembangan manusia yang terdapat dalam pendidikan kesihatan, reproduktif dan sosial itu bermaksud pendedahan mengenai pengetahuan sistem reproduktif manusia manakala perhubungan pula mendedahkan mengenai sifat kasih sayang dan persahabatan.

Pendedahan mengenai perkahwinan dan kekeluargaan yang merangkumi tanggungjawab sepanjang hayat sebagai ibu bapa turut diajar kepada murid.

Sementara itu, kebolehan untuk membuat keputusan pula menjadi pengisian kepada tunjang kemahiran kendiri.

Kesihatan dan tingkah laku seksual akan menyentuh amalan seks sepanjang kehidupan, kaedah mengelakkan hubungan seksual, fantasi, kehamilan, penyakit seksual berjangkit, HIV dan AIDS. Manakala masyarakat dan budaya pula menyentuh mengenai isu seks dan masyarakat. Hal berkaitan perundangan turut diberi penekanan.

Oleh yang demikian, stigma masyarakat yang menganggap pendidikan seks tidak sesuai untuk golongan bawah umur harus dikikis agar pemahaman asas itu dapat diserap oleh kanak-kanak seterusnya mendidik mereka dengan betul.

Pendedahan awal seperti ini adalah perlu bagi perkembangan mental kanak-kanak agar mereka membesar dengan pengetahuan penting yang diperlukan seterusnya mampu menghindari mereka daripada gejala sosial.

Guru-guru yang terlibat untuk pengajaran subjek tersebut telah diberi kursus sementara bahan pengajaran turut disediakan bagi memudahkan murid.

Masyarakat khususnya ibu bapa disaran menyokong dan memberi kerjasama terhadap pembaharuan yang dilakukan ini supaya pelaksanaannya berjalan dengan baik dan lancar.

Dalam KSSR Tahap Satu, terdapat dua lagi modul selain Modul Teras Asas iaitu Modul Teras Tema dan Modul Elektif.

Modul Teras Tema memperkenalkan subjek baru iaitu Dunia Kesenian yang memberi penekanan terhadap Dunia Seni Visual dan Dunia Muzik serta satu lagi subjek iaitu Dunia Sains dan Teknologi.

Modul Elektif pula terdapat subjek Bahasa Arab, Bahasa Cina Sekolah Kebangsaan (SK), Bahasa Tamil SK, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun.

Thursday, December 2, 2010

Pelajar luar bandar perlu berusaha



Rosmah Mansor bersama pelajar dari Sabah dan Sarawak di Seri Perdana, Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 29 Nov. - Para pelajar di luar bandar dinasihatkan supaya tidak menjadikan faktor ketidakmampuan sebagai penghalang untuk mengejar cita-cita mereka.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, pelajar berkenaan sebaliknya perlu mempunyai kesedaran terhadap kepentingan ilmu pengetahuan untuk mengubah corak hidup mereka.

"Saya mempunyai kepercayaan penuh bahawa hanya pendidikan boleh mengubah kehidupan kita semua," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis minum petang bersama 20 pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, di sini hari ini.

Mereka merupakan peserta program lawatan ke Semenanjung yang dianjurkan oleh MASwings Sdn. Bhd. (MASwings), anak syarikat Malaysian Airline System Bhd.

Program lawatan tiga hari itu membolehkan pelajar cemerlang terbabit melawat pusat pembaikan kapal terbang serta tempat menarik di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Wednesday, December 1, 2010

Integrasikan ICT dalam P&P






SEBAHAGIAN daripada guru dan pentadbir sekolah yang mengikuti Program Jerayawara Pembestarian Sekolah Bestari di Kota Samarahan, Sarawak, baru-baru ini.


Kota Samarahan - Selepas berkunjung ke empat buah negeri, Program Jerayawara Pembestarian Sekolah Bestari (MSC) diteruskan ke destinasi terakhir di Sarawak bagi memberi pendedahan pemahaman tentang transformasi yang harus dilakukan oleh pentadbir sekolah ke arah men- capai tahap yang cemerlang dalam proses penarafan Sekolah Bestari.

Manakala para guru pula didedahkan dengan konsep pengintegrasian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Seramai 150 orang pengetua, guru besar dan guru telah berpeluang menyertai program anjuran Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) di Bahagian Teknologi Pendidikan (BTPN) Sarawak baru-baru ini.

Bagi mencapai objektif penganjuran, MDeC dan Koridor Raya Multimedia Malaysia (MSC) telah menjemput Pensyarah Jabatan Teknologi Pendidikan, Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh, Dr. Ismail Zain untuk mengendalikan dua sesi taklimat yang dijalankan.

Terdahulu, Pegawai BTPN Sarawak, Munawwar Ismail telah memberikan taklimat tentang Piawaian Kelaya-kan Sekolah Bestari (SSQS) dan kaedah untuk membestarikan semua sekolah.

Menurut Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sambir, Latif Jem, program tersebut telah memberikan satu pengalaman yang menarik dan membuka mindanya mengenai penarafan SSQS dan cara-cara mengintegrasikan ICT dalam bilik darjah.

"Kemudahan jalur lebar yang akan digunakan dalam sesi pengajaran diharapkan akan membantu serta memudahkan para guru dan murid-murid untuk mengakses dan memuat turun bahan pembelajaran," katanya.

Ketua Penolong Pengarah BTPN Sarawak, Abd. Wahed Rosli berkata, aspek pengintegrasian ICT dalam P&P perlu diberi penekanan yang lebih serius kerana kebanyakan guru sudah mengetahui cara mengaplikasi ICT tetapi masih kurang mahir mengintegrasikannya.

Sementara itu Guru Sekolah Kebangsaan Jalan Muara Tuang, Adelina Alos berkata, program yang disertainya ini banyak memberi motivasi kepada dirinya untuk mengintegrasikan ICT dalam P&P.

"Saya percaya, pengintegrasian ICT mampu menarik minat murid-murid untuk memberi tumpuan kepada proses P&P yang tidak lagi hanya terbatas di dalam bilik darjah sahaja," katanya.

Tuesday, November 30, 2010

Kerajaan Kekurangan Dana, Kerja Guru Baru Dibeku Tahun Depan?

Mintak maaf saya katakan awal-awalnya, kebanyakan graduan perguruan hari ini hanya memenuhkan peluang kerjaya semata. Sedangkan kerja guru itu sebenarnya merupakan antara aspek terpenting dalam menentukan halatuju dan masa depan negara daripada segi pembentukan anak-anak muda masa kini.

Mereka kadang-kadangnya yang masuk bidang perguruan ini bukan kehendak mereka awalnya, tetapi “terpaksa” kerana ia menjadi pilihan terakhir bagi mendapatkan peluang kerjaya.

Yang kerja guru hari ini boleh dikatakan seperti satu pakej mee segera(bukan semua, tapi kebanyakannya). Tugas guru bukan sahaja setakat mengajar(masuk kelas, bla…bla…bla, kemudian keluar) tetapi dalam masa yang sama bakal-bakal guru perlu diajar bagaimana untuk “mendidik” anak-anak muda hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr. Zakaria Kasa mengeluarkan kenyataan dengan memaklumkan semua penempatan lepasan UPSI ke sekolah-sekolah terpaksa dibeku bermula 2010.



Pembekuan semua penempatan ke sekolah-sekolah ini dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melibatkan semua institusi yang mengeluarkan bakal-bakal guru bukan sahaja di UPSI malah di IPTA lain yang menawarkan program pendidikan termasuk Institut Perguruan (IPG) di seluruh negara berikutan masalah kewangan yang dialami pihak Kerajaan Malaysia. Manakala penempatan untuk graduan bagi kerja guru pada tahun ini tidak mengalami masalah kerana tindakan membekukan penempatan tersebut hanya bermula tahun hadapan.

Beliau pada awalnya mengambil langkah untuk tidak mengumumkannya kepada pelajar kerana bimbang menjejaskan motivasi pelajar untuk meneruskan pengajian namun bertukar fikiran dengan mengumumkannya semalam kerana beranggapan perkara tersebut harus diketahui semua pihak sebagai langkah persediaan.(Nasib baik beritahu dan memang patut diberitahu pun kerana itu hak mereka)

Itulah yang dikatakan sekarang, kuantiti melebihi kualiti. Itu yang jadi pada bakal guru pada hari ini, tangkap muat sahaja. Yang aniaya, anak-anak yang bersekolah. Lebih-lebih yang terkebelakang seperti anak-anak dari Sabah & Sarawak. Dahla…ketinggalan, dihantarnya pula guru-guru baru yang masih mentah dalam bidang pendidikan mengajar di sana. Erm…….


Masalah seperti terdapat graduan keluaran UPSI dan IPTA lain yang tamat pengajian bermula tahun hadapan, perlu menunggu selama 2 tahun untuk kerja guru sebelum ditempatkan ke sekolah-sekolah adalah merupakan masalah yang sinonim berlaku dalam skop perguruan pada hari ini dan juga apabila
kementerian pendidikan berpecah menjadi kementerian pengajian tinggi dan kementerian pelajaran.


Sumber : Berita Semasa