Wednesday, December 29, 2010

Badi 14 tahun berakhir



Pemain Malaysia, Safee Sali (kanan) meraikan bersama rakan sepasukan, S. Kunanlan (tengah) dan Safiq Rahim selepas menjaringkan gol sewaktu menentang Indonesia pada perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2010 di Jakarta, malam tadi. – REUTERS


JAKARTA – Sejarah tercipta di bumi Stadium Gelora Bung Karno, buat pertama kali dalam sejarah penganjuran Piala Suzuki AFF 2010 apabila Malaysia menjadi juara walaupun tewas 1-2 kepada Indonesia dalam perlawanan akhir kedua untuk meraih kemenangan melalui agregat 4-2, semalam.

Bertambah manis anak didik K. Rajagobal berjaya melakukannya di hadapan 95,000 penyokong fanatik Indonesia yang terpaksa menelan kepahitan bahawa Malaysia lebih berhak merangkul kejuaraan edisi kelapan Piala Suzuki.

Ternyata bekalan 3-0 yang dibawa dari Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad lalu cukup membantu kerana gol di tempat lawan yang dijaringkan oleh Safee Sali menjadi faktor penting mematahkan api perjuangan Indonesia yang mahu mencipta jaringan pendahuluan.

Bukan sekadar itu, penyerang negara, Safee Sali dinobatkan selaku penjaring terbanyak kejohanan Piala Suzuki AFF 2010 dengan lima gol mengatasi pesaing terdekat, Cristian Gonzales.

Gol tunggal Malaysia dalam perlawanan ini diilhamkan daripada gerakan pantas Mohd. Ashari Samsudin ketika Indonesia rancak menyerang dan pemain Terengganu itu melakukan hantaran jauh yang disambut dengan baik oleh Safee Sali.

Safee dengan tenang mengawal bola sebelum mendapat posisi terbaik melepaskan rembatan kencang melalui kaki kiri menewaskan Markus Harison untuk memberikan gol penting di tempat lawan.

Biarpun Indonesia dengan mendapatkan dua jaringan pada minit ke-71 melalui Mohamad Nasuha dan Muhammad Ridwan pada minit ke-87, ia sudah terlewat buat skuad Garuda bangkit mengatasi Malaysia yang menang dengan kelebihan agregat 4-2.

Penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat wajar diberikan pujian menggunung kerana beraksi cemerlang menghalang hajat Indonesia memburu gol yang lebih besar termasuk menyelamatkan sepakan penalti pada minit ke-18 yang diambil oleh Firma Utina.

Walaupun pertahanan negara yang dikemudi oleh Mohd. Muslim Ahmad dan Mohd. Fadhli Shas bocor sebanyak dua kali, ketenangan dan kesungguhan semangat juang pemain Malaysia bertahan jelas menjadi kunci utama kejayaan bersejarah Malaysia.

Apa yang penting, kejayaan merangkul Piala Suzuki AFF akan menutup mulut media dan peminat Indonesia yang tidak henti-henti melancarkan provokasi semenjak hari pertama skuad Malaysia tiba di Jakarta.

Malahan, sebelum perlawanan, mental pemain Malaysia didera habis-habisan oleh penyokong tuan rumah yang menyebut perkataan Maling! Maling! dan membuat bising semasa lagu kebangsaan Malaysia dimainkan.

Bertambah pahit buat pihak Indonesia, ini merupakan kegagalan kali keempat buat Indonesia selepas empat kali mencuba di pentas final.

Selain membawa pulang trofi AFF, Malaysia meraih wang tunai sebanyak A$$100,000 sementara Indonesia mendapat A$$ 50,000.

Pemain terbaik kejohanan Piala Suzuki AFF dirangkul kapten Indonesia, Firman Utina. – Utusan

Monday, December 27, 2010

”Teach For Malaysia” tingkat mutu pendidikan negara

KUALA LUMPUR, 24 Dis. - Program ”Teach For Malaysia” yang dilancarkan hari ini bakal melengkapi inisiatif penting yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan untuk meningkatkan mutu pendidikan di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, ini kerana program itu berkait rapat dengan dasar dalam Rancangan Malaysia ke-10 yang bertujuan membangunkan modal insan berkualiti.

"Sungguhpun fokus utama program ini adalah untuk membekalkan guru yang berkualiti kepada sekolah-sekolah berpencapaian rendah, program ini adalah berkait rapat dengan dasar di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.

"Usaha ini adalah teras kepada percambahan inovasi dan pertumbuhan ekonomi berpendapatan tinggi yang merupakan matlamat utama negara kita pada waktu ini,” katanya ketika berucap melancarkan program itu di sini.

Beliau berharap program itu akan dapat menarik minat graduan-graduan cemerlang akademik untuk menyumbang kepada sektor pendidikan.

Program ”Teach For Malaysia” atau ”Mendidik Demi Malaysia” berasaskan konsep mengajar sambil berbakti yang dipelopori oleh rangkaian global, Teach For All, yang memberi peluang kepada graduan cemerlang untuk berkhidmat kepada negara dengan menyertai profesion perguruan setelah menamatkan pengajian di universiti. - Bernama

Takwim Peperiksaan Awam 2011

SPM (U) : 13 Jun 2011- 14 Jun 2011 (2 hari)

UPSR : 13 Sept 2011- 15 Sept 2011 (3 hari)

PMR : 4 Okt 2011-6 Okt 2011, 10 Okt 2011-11 Okt 2011 (5 hari)

STAM : 12 Okt 2011-13 Okt 2011, 17 Okt 2011-19 Okt 2011 (5 hari)

SPM : 14 Nov 2011-14 Dis 2011 (16 hari)


sumber : engkabang.net

Sunday, December 19, 2010

Leca dan Lecah

Leca dan lecah ialah perkataan bahasa Melayu. Tahukah anda akan maksud perkataan-perkataan tersebut?

Leca (sebut l?ca ) kerana huruf vokal e dalam perkataan leca itu ialah vokal e pepet. Leca bermaksud rantai leher yang diperbuat daripada manik. Makna lain bagi kata ini ialah tilam atau mesai. Penggunaan dalam ayat, misalnya:

1. Bayi itu tidur di atas leca.

2. Mesai ialah leca, bukan misai.

Jika perkataan leca diakhiri huruf konsonan h, maka terbitlah perkataan lecah. Lecah bermaksud becak, yakni keadaan tanah yang berlumpur atau berselut. Selain disebut becak, becek ialah perkataan yang bersinonim dengannya.

Jika kita memandu kenderaan merempuh lecah ini, maka sudah tentu kenderaan kita, setidak-tidaknya rodanya kotor. Kaki yang terpijak lumpur kotor berselut. Kotor dilambangkan sebagai sesuatu makna yang buruk. Orang yang mendapat nama yang buruk (aib) dikatakan kena lecah. Betapa buruknya sifat lecah itu dijadikan kiasan kepada manusia melalui peribahasa lecah di kaki yang bermaksud perihal orang lelaki yang berkahwin tanpa tanggungjawab melainkan sebagai orang menumpang sahaja.

Dalam makanan pula, sekiranya gulai yang dimasak itu tidak perisa kerana tawar , maka makanan itu dikatakan lecah. Makanan yang lecah harus dibubuhi secubit garam agar terasa perisanya.

Perkataan lecak (vokal e pepet) bermaksud lecup. Perkataan lecup bersinonim pula dengan maksud sesuatu yang mencecah sampai ke bawah, seperti kaki kain atau kaki celana yang terlabuh hingga menyapu tanah. Perkataan lecak, apabila digandakan menerbitkan kata ganda penuh lecak-lecuk. Lecak-lecuk menggambarkan tiruan bunyi seperti bunyi orang berjalan dalam lumpur .

Sebaliknya, apabila kita membunyikan huruf vokal e dalam perkataan lecak dengan bunyi e taling, maka terbit pula bunyi lecak [lécak]. Lecak menunjukkan keadaan tanah yang lembik dan berair. Keadaan tanah begini dinamakan becak atau becek. Jelaslah maksud lecak dan lecah sama sahaja, kerana kedua-dua perkataan ini menggambarkan keadaan tanah yang berlumpur. Oleh itu, anda boleh sahaja membina ayat:

1. Ibu melarang kita bermain dalam lecah.

2. Halaman rumahnya lecak kerana hujan turun dengan lebat.

Tahukah anda bahawa perkataan begar juga diucapkan dalam dua variasi bunyi. Kedua-dua bunyi yang berbeza ini ditentukan oleh kehadiran huruf vokal e pepet dan e taling dalam perkataan itu. Jika perkataan begar diucapkan begar (huruf e pepet), maka maksudnya keras. Ubi, keledak yang tidak empuk apabila direbus dikatakan begar. Selain makna keras, begar juga bermaksud tegar hati atau tidak dapat diubah lagi.

Begar (e taling) mendukung maksud bergerak berkeliling atau berlegar seperti kapal terbang yang hendak mendarat. Sudah jelas kepada kita perbezaan kedua-dua makna perkataan begar. Oleh itu, jika kita ingin menggambarkan peri degilnya atau keras hati seseorang itu, perkataan begar ( e pepet) merupakan pilihan yang tepat, bukannya begar (e taling).

Demikian huraian tentang beberapa perkataan yang berbeza sebutannya oleh kehadiran e pepet dan e taling. Kehadiran kedua-dua e ini pula menerbitkan, bukan sahaja bunyi yang berbeza, malah maksudnya juga berbeza. Oleh itu, berhati-hatilah menyebut perkataan-perkataan itu menurut makna yang hendak diungkapkan. Dengan cara inilah anda dapat berbahasa dengan betul.

Saringan literasi tiga kali setahun di sekolah

KANAK-kanak akan melalui tiga saringan setahun, bertujuan mengenal pasti sama ada meeka perlu mengikuti program Literasi da Numerasi (LINUS) jika mempunyai ketidakupayaan dalam pembelajaran.

Saringan akan dibuat pada Mac, Jun dan September.

Mengikut dokumen Program Transformasi Kerajaan Pelan Hala Tuju – Ringkasan Eksekutif, tujuan program itu adalah untuk memastikan menjelang tahun 2012, semua kanak-kanak mempunyai literasi asas (Bahasa Malaysia) dan kemahiran numerasi selepas tiga tahun pendidikan sekolah rendah.

Bagi tujuan itu, modul literasi dan numerasi yang baru dibentuk dengan konsep mudah difahami akan diajar lebih awal lagi dan lebih penekanan akan ditumpukan kepada aplikasi konsep yang dipelajari.

Latihan hampir 17,000 guru untuk mengajar modul baru LINUS juga telah berlangsung sejak November tahu lepas dan awal tahun ini.

Sehubungan itu, pemantauan dan penyelesaian intensif ke atas kira-kira 100 peratus sekolah yang tercorot oleh para pegawai dan pendidikan di peringkat negeri dan daerah akan dibuat oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Bagi memantapkan lagi program, fasilitator pakar yang dilantik di peringkat daerah, ditempatkan di Jabatan Pendidikan Daerah, bagi membantu guru literasi dan numerasi sekolah.

Kelas 2020: Sekolah lemah dipantau

KERAJAAN akan membantu sekolah yang kurang berdaya maju untuk melaksanakan impian kelas 2020, melalui program penambahbaikan pencapaian sekolah, dengan fokus memperbaiki pencapaian pelajar, dan menjadikan semua sekolah berprestasi tinggi menjelang tarikh keramat itu.

Bagaimanapun, sekolah yang telah menjalankan program penambahbaikan diminta meneruskan inisiatif mereka. Dalam kes ini, program penambahbaikan sekolah akan membantu memudahkan program sedia ada oleh pihak sekolah.

Ke arah itu, satu sistem pengumpulan data berpusat dan mekanisme bantu kendiri akan diperkenalkan bagi membolehkan guru menjejak dan mencapai maklumat tentang pencapaian sekolah masing-masing, dan apakah langkah yang boleh dilakukan untuk menambah baik.

Program itu yang dilancarkan baru-baru ini, bertujuan menangani isu kritikal tenaga kerja yang mampu berdaya saing - khususnya dalam mengejar impian menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Program penambahbaikan sekolah ini akan menjadi asas kepada usaha untuk semua sekolah mencapai standard sekolah berprestasi tinggi.

Semua pengetua dan guru besar akan diberi kuasa autonomi untuk mengurus tadbir sekolah, mengurus sumber yang sedia ada dan menghasilkan pelajar seperti mana yang diharapkan.

Program penambahbaikan sekolah terdiri daripada tiga elemen, yang akan dilaksanakan mengikut urutan berikut:

1. Pengkelompokan - Sekolah akan diberi penarafan mengikut kelompok pencapaian. Antaranya mengikut Piawaian Gred Purata Sekolah (GPS) dan Piawaian Kualiti Pendidikan Malaysia (SQEM). Status ranking ini akan dimaklumkan kepada sekolah pada setiap tahun.

2. Perkakasan penambahbaikan sekolah - Data keperluan khusus sesebuah sekolah akan dikumpul, membantu pentadbir sekolah membuat keutamaan dan perancangan, dan memudah cara; diskusi berterusan antara pihak sekolah dengan Jabatan Pelajaran Negeri.

3. Talian khidmat - Mengenal pasti ruang yang perlu diperakui berdasarkan bukti yang telah dikumpulkan, akan disalurkan dari Kementerian Pelajaran kepada sekolah, dengan sasarannya ialah para pengetua, pelajar dan ibu bapa - selain infrastruktur.

Sementara program sekolah berprestasi tinggi bertujuan meletakkan tahap sekolah pada satu kedudukan yang cemerlang, program penambahbaikan sekolah ini pula bertujuan meningkatkan mutu semua sekolah, serta menghubungkan segala inisiatif yang ada di KPM, seperti inisiatif baru kepada pentadbiran sekolah, program literasi dan numerasi (LINUS) serta transformasi kurikulum.

Program penambahbaikan sekolah lebih bersifat berpusatkan sekolah. Hal ini bagi membolehkan pengetua atau guru besar memiliki kuasa autonomi untuk melaksanakan program penambahbaikan - sama ada berkaitan hal pentadbiran sekolah atau penambahbaikan program keguruan masing-masing.

Program kali ini bukan lagi berfokus kepada kawasan atau sekolah tertentu. Program ini akan meliputi 10,000 buah sekolah di seluruh negara.

Pengenalan kepada inisiatif pengkelompokan sekolah adalah sebahagian daripada kelancaran program inisiatif dan tawaran baru kepada pengetua dan guru besar, dengan mutu perkhidmatan mereka menjadi pertaruhan.

Di bawah program penambahbaikan sekolah, pengkelompokan memberi gambaran kepada pencapaian sesebuah sekolah dan memudahkan untuk dibantu.

Kerajaan kini menggalakkan Sekolah Berasrama 1Malaysia dengan menjadikan sekolah berasrama semasa lebih berciri pelbagai kaum dalam komposisi pelajar dan menubuhkan sekolah asrama berkualiti tinggi yang terbuka kepada semua.

Selain itu, dokumen Program Transformasi Kerajaan juga mahu institusi latihan perguruan menyediakan guru yang mempunyai pengetahuan, daya kesedaran dan kemahiran yang menjadikan mereka sensitif terhadap latar belakang pelajar yang berbeza-beza dan menangani perhubungan antara kaum dalam kaedah yang positif dan proaktif.

Thursday, December 9, 2010

PTK digantikan dengan mengambil kira tugas hakiki

PUTRAJAYA: Satu sistem penilaian yang mengambil kira 'keunikan' setiap jabatan kerajaan akan diguna pakai bagi menggantikan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang ditamatkan mulai 1 Januari ini. Ketika PTK ditolak sesetengah kakitangan awam, sistem penilaian baru itu yang sedang dirangka oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan turut memberi penekanan kepada pencapaian individu dalam tugas hakikinya. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, berkata pada ketika ini, PTK ‘mengukur’ kecekapan pegawai secara sama rata tanpa banyak mengambil kira jurusan hakiki masing-masing.

“Tiap-tiap jabatan ada keunikan masing-masing jadi ia tidak boleh dinilai secara sama rata, misalnya jika kakitangan berada dalam bahagian pentadbiran tidak boleh sama dengan bahagian teknikal," katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Beliau berkata, sepatutnya PTK juga menekankan keunikan setiap jabatan itu
tetapi oleh kerana ia sudah menjadi budaya dalam perkhidmatan awam ia nampak seolah-olah diseragamkan.
Katanya, JPA diberi masa sehingga Jun depan untuk mengemukakan sistem penilaian baru itu seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada pembentangan Bajet 2011 lalu.

Beliau berkata, nama kepada sistem penilaian baru itu juga belum ditentukan.

Bagaimanapun, katanya, proses kenaikan pangkat kakitangan awam antara Januari hingga Jun depan akan diteruskan dengan keutamaan masih diberikan kepada mereka yang lulus PTK yang diduduki sebelum ini.

Menjawab soalan, katanya, sistem penilaian baru itu kelak juga akan mirip kepada kriteria Petunjuk Prestasi Utama (KPI) individu tetapi enggan menjelaskan terperinci.

Walaupun sesetengah kriteria akan berfokus kepada bidang hakiki kakitangan berkaitan, beberapa subjek seperti kenegaraan akan diteruskan dalam penilaian baru itu kelak kerana ia penting untuk seseorang kakitangan kerajaan.

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13/2010 yang disiarkan di laman web JPA sebelum ini menyatakan pelaksanaan PTK akan dihentikan berkuat kuasa 1 Januari ini selaras dengan pengumuman kerajaan dalam pembentangan Bajet 2011 pada Oktober lalu.

Justeru, lulus PTK bukan lagi syarat untuk kenaikan pangkat mulai 1 Januari ini.

PTK diperkenalkan dalam Sistem Saraan Malaysia (SSM) bermula 1 November 2002 bertujuan menggalakkan pembangunan diri pegawai perkhidmatan awam melalui pembelajaran berterusan, meningkatkan budaya organisasi pembelajaran dan melaksanakan pengurusan sumber manusia berasaskan kompetensi.

PTK dimantapkan pada 2005 dan dibuat pengubahsuaian pada 2008.

Bagaimanapun, peperiksaan itu menimbulkan pelbagai kontroversi kerana dikatakan ramai kakitangan terutama yang berpengalaman sukar menikmati kenaikan pangkat

Tuesday, December 7, 2010

Pendidikan kesihatan, reproduktif mulai 2011


Istilah pendidikan seks secara umumnya mungkin boleh membawa kepada satu persepsi atau pemahaman bahawa ia hanya layak untuk diketahui oleh golongan dewasa sahaja.

Sebahagian besar masyarakat tidak mahu anak-anak mereka yang mentah didedahkan dengan perkara itu malah kebanyakan ibu bapa sendiri malu atau tidak mahu untuk membincangkan mengenai pendidikan seks sebagai asas pemahaman anak- anak mereka.

Maka, tidak hairanlah jika banyak pihak terutamanya golongan ibu bapa akan melatah dan memberi pandangan negatif apabila Kementerian Pelajaran mengambil keputusan untuk memperkenalkan pendidikan tersebut di sekolah rendah bermula tahun hadapan.

Harus diingat bahawa pendidikan seks atau istilah sebenarnya Pendidikan Kesihatan, Reproduktif dan Sosial itu bukanlah bermaksud pendidikan mengenai teknik hubungan kelamin atau perkara-perkara yang tidak perlu diketahui oleh kanak-kanak.

Ia lebih menjurus kepada asas terhadap perkembangan badan, perhubungan, perkahwinan dan kekeluargaan, kemahiran kendiri, kesihatan dan tingkah laku seksual serta masyarakat dan budaya.

Pendidikan kesihatan, reproduktif dan sosial yang akan diperkenalkan ini termasuk dalam subjek Pendidikan Kesihatan di bawah Modul Teras Asas bagi Tahap Satu (tahun satu hingga tiga) Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang akan bermula pada Januari 2011.

Subjek lain yang terdapat di bawah Modul Teras Asas ini termasuklah Pendidikan Jasmani, Bahasa Malaysia (BM), Bahasa Inggeris (BI), Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Matematik dan Pendidikan Islam/Moral.

Elemen perkembangan manusia yang terdapat dalam pendidikan kesihatan, reproduktif dan sosial itu bermaksud pendedahan mengenai pengetahuan sistem reproduktif manusia manakala perhubungan pula mendedahkan mengenai sifat kasih sayang dan persahabatan.

Pendedahan mengenai perkahwinan dan kekeluargaan yang merangkumi tanggungjawab sepanjang hayat sebagai ibu bapa turut diajar kepada murid.

Sementara itu, kebolehan untuk membuat keputusan pula menjadi pengisian kepada tunjang kemahiran kendiri.

Kesihatan dan tingkah laku seksual akan menyentuh amalan seks sepanjang kehidupan, kaedah mengelakkan hubungan seksual, fantasi, kehamilan, penyakit seksual berjangkit, HIV dan AIDS. Manakala masyarakat dan budaya pula menyentuh mengenai isu seks dan masyarakat. Hal berkaitan perundangan turut diberi penekanan.

Oleh yang demikian, stigma masyarakat yang menganggap pendidikan seks tidak sesuai untuk golongan bawah umur harus dikikis agar pemahaman asas itu dapat diserap oleh kanak-kanak seterusnya mendidik mereka dengan betul.

Pendedahan awal seperti ini adalah perlu bagi perkembangan mental kanak-kanak agar mereka membesar dengan pengetahuan penting yang diperlukan seterusnya mampu menghindari mereka daripada gejala sosial.

Guru-guru yang terlibat untuk pengajaran subjek tersebut telah diberi kursus sementara bahan pengajaran turut disediakan bagi memudahkan murid.

Masyarakat khususnya ibu bapa disaran menyokong dan memberi kerjasama terhadap pembaharuan yang dilakukan ini supaya pelaksanaannya berjalan dengan baik dan lancar.

Dalam KSSR Tahap Satu, terdapat dua lagi modul selain Modul Teras Asas iaitu Modul Teras Tema dan Modul Elektif.

Modul Teras Tema memperkenalkan subjek baru iaitu Dunia Kesenian yang memberi penekanan terhadap Dunia Seni Visual dan Dunia Muzik serta satu lagi subjek iaitu Dunia Sains dan Teknologi.

Modul Elektif pula terdapat subjek Bahasa Arab, Bahasa Cina Sekolah Kebangsaan (SK), Bahasa Tamil SK, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun.

Thursday, December 2, 2010

BOLEHKAH GURU MENGGUNAKAN CUTI REHAT KHAS UNTUK BERCUTI LEBIH AWAL DARI TARIKHNYA?



Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada SMS “CIKGUDG44:BHA07410” dalam ruangan Rakan@bh akhbar Berita Harian bertarikh 10 November 2010.
KPM merujuk kepada SMS – Bolehkah guru menggunakan Cuti Rehat Khas untuk bercuti lebih awal dari tarikhnya? Ada guru guna CRK bercuti pada 15 November. Kementerian Pelajaran mohon penjelasan.
Kemudahan Cuti Rehat Khas merupakan kemudahan yang diberikan kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3 Tahun 2005. Kemudahan ini diberikan kepada PPP dengan jumlah sebanyak 7 hari setahun (Januari hingga Disember). Sehubungan dengan itu, penggunaan kemudahan Cuti Rehat Khas tersebut hendaklah dilakukan melalui permohonan pegawai kepada Ketua Jabatan masing-masing dan mendapat kelulusan tertakluk kepada kepentingan perkhidmatan. Oleh yang demikian, pegawai adalah perlu mendapatkan kelulusan Ketua Jabatan sebelum bercuti dan hanya bercuti bagi tempoh yang telah diluluskan oleh Ketua Jabatan sahaja.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Sakit perut tanda kanser perut



Gambar menunjukkan kanser perut. - Gambar hiasan


SAKIT perut jangan diambil mudah. Mungkin ramai daripada kita bila sakit perut anggap ia tidak serius dan biar hilang sendiri.

Kalau berubat pun memadai dengan menyapu minyak angin atau ambil ubat gastrik.

Tetapi hakikat yang perlu disedari ialah ia mungkin sebahagian daripada petanda awal kanser perut. Ini merupakan kanser ketujuh paling lazim dialami oleh lelaki dan kesepuluh paling lazim bagi wanita di Malaysia.

Berdasarkan statistik, kes kanser perut di negara ini telah meningkat berkali ganda sejak.

Statistik 2006 oleh Institut Kanser Kebangsaan menunjukkan kaum Cina mewakili 61. 7 peratus daripada pesakit kanser perut. Ini diikuti Melayu (25.9 peratus) dan India (12.4 peratus).

Pakar Perunding Gasteorologi Hospital Pusat Kanser Kebangsaan Tokyo, Jepun, Dr. Tekeshi Sano berkata, ramai tersalah anggap mengenai sakit perut sebagai masalah kesakitan biasa ekoran tersilap makan atau terlambat makan.

''Keadaan tersebut sekiranya dibiarkan berlarutan, ia akan memberikan kesan sehingga membawa maut,''katanya ketika membentangkan kertas kerja pada Kongres Ketiga Kanser Gastroesofageal di Pusat Perubatan Sunway, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Menurut Dr. Sano, jika seseorang mengalami sakit perut lebih daripada dua kali seminggu secara berterusan ia kemungkinan mereka diserang kanser perut.

''Pemeriksaan awal penting untuk mengenal pasti atau mengesan kanser pada pesakit.

"Walaupun tidak ada gejala dan tidak mempunyai sejarah penyakit kanser perut, namun penyakit ini boleh menyerang tanpa

sebarang tanda.

''Adalah penting untuk menjalani pemeriksaan atau ujian,'' ujar beliau.

Jelas beliau, melalui teknologi moden, kanser perut boleh dikesan tanpa perlu membuat pembedahan dan juga cepat.

''Kanser perut ini boleh dikesan menggunakan kaedah endoskopi. Satu tiub dengan lensa video pada hujungnya yang dimasukkan ke dalam perut menerusi mulut ataupun dubur.

''Menggunakan kaedah ini, keseluruhan dinding boleh diperiksa. Contoh tisu di tempat-tempat yang disyaki akan diambil untuk menentukan kehadiran sel barah itu,'' ujarnya.

Proses itu tidak menyakitkan kerana pesakit akan diberikan dos pelali terlebih dahulu.

Bagaimanapun, terdapat juga yang membuat secara terangan di mana satu alat sebesar jari kelingking akan dimasukkan melalui mulut.

Katanya, mereka yang menjalani rawatan tersebut dikenakan caj yang minimum kerana ada subsi kerajaan.

Kata Dr. Sano, sekiranya terdapat sel yang menyebabkan kanser dan masih di peringkat awal, pembedahan tidak perlu di lakukan.

''Ia boleh dikeluarkan menggunakan endoskop, bagaimanapun sekiranya berada di tahap yang serius pembedahan susulan akan dilakukan bagi mengelakkan keadaan semakin kritikal", kata beliau lagi.

Malah jangka masa untuk membuat rawatan itu juga tidak terlalu lama iaitu selama 10 hingga 20 minit.

Bagaimanapun sekiranya pesakit berada ditahap yang kritikal iaitu peringkat tiga dan empat ia mungkin sukar untuk dirawat.

''Rawatan bagi mereka ini lebih kepada radioterapi ataupun kemoterapi. Jalani pemeriksaan awal kerana ia boleh dikawal secepat mungkin," katanya.

Cara mengawal kanser perut

- Amalkan tabiat pemakanan yang sihat. Apa yang anda makan dan cara makan amat penting. Makanlah secara sederhana, pada waktu yang ditetapkan dan makanlah dengan tenang.

- Kekalkan berat badan yang sihat. Masalah pencernaan boleh terjadi tidak kira berapa berat badan anda. Tetapi, pedih hulu hati, kembung dan sembelit lebih ketara di kalangan mereka yang terlebih berat badan.

- Senaman aerobik yang meningkatkan kadar pernafasan dan degupan jantung juga merangsang aktiviti otot-otot usus, membantu untuk membuang sisa-sisa makanan melalui usus anda dengan lebih cepat. Lakukan sekurang-kurangnya 30 minit aktiviti aerobik setiap hari.

- Kawal tekanan. Tekanan akan meningkatkan risiko anda menghidap sakit jantung dan strok, melemahkan sistem ketahanan anda dan boleh mencetus atau memburukkan lagi masalah kulit yang dialami. Ia juga meningkatkan penghasilan asid perut dan memperlahankan sistem pencernaan.

- Disebabkan tekanan merupakan sesuatu yang sukar untuk dielakkan bagi kebanyakan orang, cara terbaik adalah mengawalnya dengan berkesan.

- Salah satu langkah paling mudah dilakukan ialah dengan mengamalkan diet berkhasiat, dapatkan rehat secukupnya, lakukan senaman dan rehat dengan cara-cara yang menyihatkan. Jika anda bermasalah untuk berehat, anda boleh mengambil meditasi, yoga atau tai chi.

Bintang terbesar di galaksi



Perbezaan saiz bintang R136a1 (berwarna biru kanan sekali) berbanding matahari (berwarna kuning) dan bintang-bintang yang lain yang pernah ditemui.


Kerlipan serta cahaya bintang sentiasa menemani langit malam. Sejak kewujudan alam, bintang pasti muncul saban malam.

Malah, kerlipan tersebut turut dijadikan sebagai panduan oleh manusia dalam menentukan arah ketika berlayar mahu pun sebagai rujukan bulan.

Sehingga abad ini, bintang terbesar yang temui hanya sekitar 150 massa matahari (Solar Mass) iaitu unit yang digunakan dalam mengira jisim bagi sesebuah bintang mahupun planet di ruang galaksi.

Malah, matahari sendiri yang juga merupakan bintang terbesar bersaiz sekitar 1.98892 didarab dengan 10 kuasa 30 atau sekitar 332.950 kali ganda massa bumi atau 1.048 kali ganda massa planet Musytari (Jupiter).

Namun baru-baru ini, sekumpulan ahli astronomi antarabangsa yang diketuai oleh United Kingdom telah menemui sebuah bintang terbesar di ruang cakerawala iaitu sehingga 300 massa matahari.

Bintang tersebut kini dikenali sebagai R136a1 sekali gus mengejutkan dunia astronomi kerana sehingga kini saiz bintang terbesar yang boleh diterima dalam komuniti tersebut hanyalah sebesar 150 massa matahari.

Lebih membanggakan, penemuan bintang terbesar tersebut turut melibatkan saintis nuklear fizik dari Malaysia.

Mereka adalah Prof. Madya Dr. Hasan Abu Kassim dan pelajar PhD beliau, Norhasliza Yusof daripada Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM).

Menurut Hassan, ia merupakan kajian Norhasliza dalam teori permodelan bintang yang dinamakan Evolusi Stella bagi mengkaji serta menentukan saiz sesebuah bintang.

Untuk melengkapkan kajian tersebut, Norhasliza perlu kerjasama kumpulan saintis dari luar negara untuk mendapatkan data serta menjalankan uji kaji.

Teori Evolusi Stella telah digunakan Norhasliza untuk tujuan kajian tersebut.

"Ketika Norhasliza membentangkan teori tersebut, ia telah mengejutkan ketua penyelidik bintang dari Universiti Sheffield, United Kingdom dan sekali gus diterima untuk diguna pakai dalam kajian mereka," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Teori permodelan tersebut telah digunakan dan dibuktikan benar serta tepat dalam menganggarkan saiz sesebuah bintang.

Jelas Hassan lagi, Norhasliza telah berada di United Kingdom bersama enam lagi pengkaji astronomi sejak Januari 2009 bagi mengukur saiz bintang-bintang baru melalui teori tersebut.

Hasilnya kumpulan penyelidik yang dianggotai oleh Norhasliza berjaya menemui bintang baru. Salah satunya adalah bintang R136a1 sekali gus merupakan bintang yang terbesar serta telah mengejutkan dunia.

Norhasliza yang menerima biasiswa Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa- bangsa Bersatu (UNESCO) untuk sesi 2008-2009 dan biasiswa Commonwealth bagi 2010 berkata, pada peringkat awal kumpulan beliau seolah-olah tidak meyakini bintang yang ditemui itu adalah sebesar 300 massa matahari.

"Setelah berbandingan serta pengiraan dilakukan berkali-kali akhirnya kami (kumpulan penyelidik) bersetuju bahawa ia (R136a1) merupakan sebuah bintang.

"Malah ketika pengumuman yang dilakukan oleh kumpulan saya ketika itu di sebuah persidangan astronomi di Jerman, ia amat mengejutkan komuniti saintis astronomi seluruh dunia," katanya.

Malah, menurut Norhasliza, terdapat sebilangan saintis yang tidak mempercayai serta mengatakan ia adalah sesuatu yang amat besar dan mustahil.

Namun, akhirnya para saintis tersebut akhirnya akur dan mengiktiraf R136a1 merupakan bintang yang tersebar pernah ditemui abad ini.

Kajian yang melibatkan dua fasa, iaitu pemerhatian dan permodelan dengan UM terlibat di peringkat permodelan.

Hasil maklumat serta data yang diperolehi daripada kedua-dua fasa tersebut digabungkan dan dianalisis bagi mendapatkan keputusan yang terbaik.

Bagi tujuan tersebut, kumpulan penyelidik yang dianggotai Norhasliza yang dijadualkan menamatkan PhD beliau pada 2011 telah menerima geran penyelidikan sebanyak RM140,000 dari UM.

Melalui penemuan tersebut, ia sekali gus melonjakkan imej negara amnya dan Universiti Malaya khususnya di kalangan komuniti saintis astronomi dunia.

Pelajar luar bandar perlu berusaha



Rosmah Mansor bersama pelajar dari Sabah dan Sarawak di Seri Perdana, Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 29 Nov. - Para pelajar di luar bandar dinasihatkan supaya tidak menjadikan faktor ketidakmampuan sebagai penghalang untuk mengejar cita-cita mereka.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, pelajar berkenaan sebaliknya perlu mempunyai kesedaran terhadap kepentingan ilmu pengetahuan untuk mengubah corak hidup mereka.

"Saya mempunyai kepercayaan penuh bahawa hanya pendidikan boleh mengubah kehidupan kita semua," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis minum petang bersama 20 pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, di sini hari ini.

Mereka merupakan peserta program lawatan ke Semenanjung yang dianjurkan oleh MASwings Sdn. Bhd. (MASwings), anak syarikat Malaysian Airline System Bhd.

Program lawatan tiga hari itu membolehkan pelajar cemerlang terbabit melawat pusat pembaikan kapal terbang serta tempat menarik di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Wednesday, December 1, 2010

Integrasikan ICT dalam P&P






SEBAHAGIAN daripada guru dan pentadbir sekolah yang mengikuti Program Jerayawara Pembestarian Sekolah Bestari di Kota Samarahan, Sarawak, baru-baru ini.


Kota Samarahan - Selepas berkunjung ke empat buah negeri, Program Jerayawara Pembestarian Sekolah Bestari (MSC) diteruskan ke destinasi terakhir di Sarawak bagi memberi pendedahan pemahaman tentang transformasi yang harus dilakukan oleh pentadbir sekolah ke arah men- capai tahap yang cemerlang dalam proses penarafan Sekolah Bestari.

Manakala para guru pula didedahkan dengan konsep pengintegrasian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Seramai 150 orang pengetua, guru besar dan guru telah berpeluang menyertai program anjuran Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) di Bahagian Teknologi Pendidikan (BTPN) Sarawak baru-baru ini.

Bagi mencapai objektif penganjuran, MDeC dan Koridor Raya Multimedia Malaysia (MSC) telah menjemput Pensyarah Jabatan Teknologi Pendidikan, Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh, Dr. Ismail Zain untuk mengendalikan dua sesi taklimat yang dijalankan.

Terdahulu, Pegawai BTPN Sarawak, Munawwar Ismail telah memberikan taklimat tentang Piawaian Kelaya-kan Sekolah Bestari (SSQS) dan kaedah untuk membestarikan semua sekolah.

Menurut Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sambir, Latif Jem, program tersebut telah memberikan satu pengalaman yang menarik dan membuka mindanya mengenai penarafan SSQS dan cara-cara mengintegrasikan ICT dalam bilik darjah.

"Kemudahan jalur lebar yang akan digunakan dalam sesi pengajaran diharapkan akan membantu serta memudahkan para guru dan murid-murid untuk mengakses dan memuat turun bahan pembelajaran," katanya.

Ketua Penolong Pengarah BTPN Sarawak, Abd. Wahed Rosli berkata, aspek pengintegrasian ICT dalam P&P perlu diberi penekanan yang lebih serius kerana kebanyakan guru sudah mengetahui cara mengaplikasi ICT tetapi masih kurang mahir mengintegrasikannya.

Sementara itu Guru Sekolah Kebangsaan Jalan Muara Tuang, Adelina Alos berkata, program yang disertainya ini banyak memberi motivasi kepada dirinya untuk mengintegrasikan ICT dalam P&P.

"Saya percaya, pengintegrasian ICT mampu menarik minat murid-murid untuk memberi tumpuan kepada proses P&P yang tidak lagi hanya terbatas di dalam bilik darjah sahaja," katanya.

Ikona Maps - Antivirus buatan Malaysia

Pada mulanya, saya meragui kebenaran berita ini. Tetapi, inilah hakikatnya. Negara kita telah berjaya menghasilkan satu perisian antivirus yang amat istimewa. Iaitu antivirus yang tidak perlu diupdate. Dengan kata lain, perisian ini boleh digunakan pada komputer yang tidak mempunyai internet. Memang diakui, terdapat perisian antivirus ciptaan negara lain yang tidak perlu diupdate. Ini kerana, jika kita melihat pada zaman asal penciptaan komputer, antivirus yang digunakan hanyalah perisian yang ringkas. Oleh kerana saban hari virus ini mula berevolusi dengan kadar lebih kurang 800 virus dicipta pada setiap hari, maka, ini mendorong syarikat-syarikat antivirus untuk sentiasa mengemaskini data virus-virus yang baru dan unik.

Apa yang menariknya tentang Ikona Maps ini, ia mampu mengesan virus sebelum ia memasuki RAM (Random Access Memory) lagi. Inilah ciri paling istimewa antivirus ciptaan tempatan ini. Menurut pegawai operasi syarikat tersebut, Ikona Maps merupakan satu-satunya antivirus di dunia ini yang menawarkan ciri sedemikian. Namun, sejauh mana kemampuan sebenar antivirus ini belum diketahui kerana produk ini masih belum dipasarkan. Adakah Ikona Maps mampu bergiat aktif mengesan virus-virus komputer yang semakin berevolusi dan trend menunjukkan para pencipta virus sudah pandai mencari kelemahan di dalam setiap perisian antivirus yang dikeluarkan. Marilah kita sama-sama menunggu keluarannya.


-WanakeToR

Sumber :
http://www.ikonasoftware.com/
http://hollowgram.blogspot.com/2009/08/ikona-maps-antivirus-buatan-malaysia.html

10 Fakta yang kita kena tahu tentang komputer!


1. Rumah Bill Gates direka menggunakan sebuah komputer Macintosh.

2. Email telah diperkenalkan lebih lama sebelum World Wide Web.

3. Satu daripada 8 pasangan yang berkahwin di US bertemu jodoh secara online.

4. Tetikus komputer/mouse yang pertama diperkenalkan pada tahun 1964 dan ianya diperbuat daripada kayu.

5. Komputer pertama di dunia, Z1 dicipta pada tahun 1936 oleh Konrad Zuse.

6. Terdapat lebih kurang 1,319,872,109 pengguna Internet di seluruh dunia.

7. Terdapat lebih kurang 1.06 billion akaun 'instant messanging'(ie ym, skype, msn) di seluruh dunia.

8. Secara puratanya, seorang remaja yang berusia 21 tahun telah menghabiskan masa bermain komputer games selama 5000 jam, menghantar 250,000 emails serta text messages, dan telah habiskan 10,000 jam dengan telefon bimbit.

9. Pada akhir tahun 2012, dianggarkan terdapat 17 billion jenis alat yang bersambung dengan Internet.

10. Sementara radio memerlukan 38 tahun, dan televisyen mengambil masa 13 tahun, World Wide Web hanya memerlukan 4 tahun untuk mencapai 50 juta pengguna.

Sumber :
http://hollowgram.blogspot.com/2010/06/kongsi-10-fakta-yang-korang-kena-tau.html

Sambutan Hari Merdeka...













Tuesday, November 30, 2010

Sk Serumbu.... video

video ini dibuat untuk tayangan pada hari "penyampaian Sijil dan Anugerah"..
selamat menonton...

Kalendar Persekolahan 2011




Kementerian Pelajaran Malaysia telahpun mengeluarkan kalendar persekolahan bagi tahun 2011. Bagi sekolah yang terletak dalam kumpulan A iaitu kedah, Kelantan dan Terengganu sesi persekolahan bermula pada 2 Januari 2011 manakala bagi sekolah yang berada dalam kumpulan B iaitu Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya sesi persekolahan bermula pada 3 Januari 2011.






Kalendar lengkap yang mengandungi tarikh penggal dan hari persekolahan, cuti penggal dan cuti akhir tahun akan memudahkan bukan sahaja memudahkan pihak pengurusan sekolah malahan ibubapa dan organisasi-organisasi lain untuk merancang setiap program dan aktitivi mereka.


sumber rujukan – Kementerian Pelajaran Malaysia dan Bahagian Kabinet, Perlembagaan Dan Perhubungan Antara Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, http://myjazmanie.com

Tips menjaga (maintain) laptop dan bateri laptop

Laptop kini menjadi pilihan utama bagi kebanyakan pengguna internet dalam membantu berbagai-bagai aktiviti sehari-hari mereka. Ini adalah semestinya kerana saiznya yang kecil dan sifatnya yang ‘portable’. Meskipun demikian, ternyata tidak semua pemilik ataupun pengguna laptop tahu bagaimana untuk menjaga laptop dan baterinya dengan baik dan betul.

Antara masalah yang dihadapi oleh sebahagian besar pemilik laptop adalah suhu laptop atau bateri menjadi panas, laptop tiba-tiba ‘hang’, laptop mati ketika digunakan dan banyak lagi masalah-masalah yang dihadapi.

Dalam post terdahulu saya ada memberikan tips membeli laptop, kini saya ingin berkongsi pula dengan anda tips menjaga (maintain) laptop dan bateri laptop.

Dalam post terdahulu saya ada memberikan tips membeli laptop, kini saya ingin berkongsi pula dengan anda tips menjaga (maintain) laptop dan bateri laptop.

  1. Bateri laptop boleh menjadi panas dalam penggunaan normal sekalipun. Jangan gunakan laptop sambil diletakkan di pangkuan anda.
  2. Ketika menggunakan laptop, hindari meletakkan laptop pada permukaan yang lembut, seperti diatas sofa, katil atau karpet. Sebab permukaan seperti itu akan menganggu aliran udara di bagian bawah laptop dan boleh menjadikan laptop overheating.
  3. Mencegah sentuhan pada ketika kedudukan bateri yang longgar dengan berbagai jenis objek metal seperti pengepit kertas, duit syiling dan sebagainya.
  4. Jangan sampai terjadi tekanan yang berlebihan yang diakibatkan oleh terjatuh, terhantuk, terhimpit ataupun tertumpuk oleh benda berat di laptop atau bateri laptop.
  5. Jangan meletakkan laptop di tempat yang boleh menjadi sangat panas, seperti di bawah terik matahari ataupun di dalam kereta yang diletakkan cukup lama di kawasan parking waktu siang hari yang panas.
  6. Basah atau terkena air adalah hal yang harus dihindari dari laptop ataupun baterinya. Meskipun nantinya ia akan mengering dan dapat berfungsi normal, circuit di dalam laptop ataupun bateri secara perlahan-lahan akan berkarat dan akan mempengaruhi tahap daya ketahanannya.
  7. Pastikan Anda memahami cara menggunakan, menyimpan dan men-charge bateri dan laptop yang telah ditulis di dalam buku manual.

Semoga tips kali ini memberi manfaat kepada kita semua.

Tips membeli Laptop

Komputer Riba atau lebih dikenali sebagai ‘laptop’ kini sudah bukan lagi menjadi satu lambang kemewahan. Seseorang yang sentiasa bergerak ke sana ke mari, pasti memilih laptop sebagai ‘teman sejati’ yang akan menemani setiap pekerjaan mereka kemanapun mereka pergi.

Namun apabila tiba sahaja saat ingin membeli laptop, pasti ramai yang kebingungan kerana takut tersalah beli atau spesifikasi tak power atau apa sahaja yang mungkin tak kena memandangkan laptop bukanlah suatu barang yang murah.

Lebih-labih lagi di zaman yang serba moden ini, cepat sahaja muncul pelbagai jenis laptop dengan beragam spesifikasi dan jenama serta harganya. Syarikat-syarikat pengeluar komputer dan perisian berlumba-lumba memperkenalkan model terbaru selang hanya beberapa bulan.

Mungkin terdapat ramai pengguna yang membeli laptop dengan spesifikasi yang paling canggih tanpa memikirkan kegunaannya. Penggunaan laptop hanya untuk memeriksa email dan membaca suratkhabar online sahaja, tetapi specifikasi laptopnya mencapai sehingga 3GHz processor, 1GB RAM, 120 GB Harddisk. Pasti harga bagi laptop begini begitu mahal.

Bagaimana memilih laptop yang sesuai dengan keperluan? Saya kongsikan beberapa tips singkat seperti berikut:

Kegunaan

Tentukan duhulu kegunaannya, apakah laptop akan dipakai untuk kegunaan pejabat, kegunaan biasa dirumah (Email, News, Microsoft Office), design, gaming, blogging, pembangunan sistem, download movies dan mp3, mobile atau kesemua yang dinyatakan.

Jika laptop hanya dipakai untuk kegunaan biasa dirumah seperti email, membaca berita, melayari internet, menaip surat dsbnya, kelajuan processor, Kapasiti RAM (Random Access Memory), Harddisk dan Graphic Card (VGA Card – Video Graphics Array) tidak perlu tinggi. Spesifikasi yang sederhana sudah lebih dari mencukupi. Jika membeli laptop dengan spesifikasi yang sederhana boleh menjimatkan wang anda.

Jika laptop anda dipakai untuk tujuan design dan gaming, sebaiknya anda memilih spesifikasi laptop dengan menitikberatkan pada VGA Card dan memori yang tinggi. Jika anda ingin laptop dengan kemampuan lebih tinggi, memilih teknologi multi-core dan processor 64-bit sangat disarankan.

Laptop dengan VGA yang tinggi kekuatannya dan memori yang besar akan membuatkan design serta permainan game anda terasa lebih ‘ringan’. Card VGA sendiri berguna untuk menterjemahkan output komputer ke monitor. Sedangkan memori (RAM)Â merupakan satu alat penyimpan data digital sementara yang biasanya mempunyai ukuran kapasiti berdasarkan standard bit digital seperti 16MB, 32MB,64MB, 128MB, 256MB, 520MB, 1064MBÂ dan seterusnya.

Untuk system developing, anda boleh memilih laptop dengan mempertimbangkan prosesor dan memori yang mempunyai spesifikasi tinggi agar mampu mengimbangi perkembangan developing tools. Teknologi multi-core dan processor architecture 64-bit juga disarankan.

Bagi seseorang yang bergerak kemana-mana, anda boleh menekankan pilihan pada jangka hayat bateri, berat laptop, ukuran screen serta beberapa feature internal connectivity seperti wifi, bluetooth, IrDA, NetworkCard, Modem dsbnya.

Layout

Selepas anda menentukan kegunaan laptop bagi diri anda, perkara lain yang harus dipertimbangkan sebelum membeli laptop adalah tentang saiz screen, berat laptop dan jangka hayat bateri. Jika anda sering membawa laptop kemana-mana, sebaiknya pilih laptop yang ringan, dengan ukuran screen yang tidak terlalu besar agar tidak susah membawanya.

Jangka hayat bateri juga penting. Ada sesetengah bateri laptop tidak mampu bertahan 2 hingga 3 jam tanpa disambungkan ke soket. Jadi, titikberatkan jangka hanyat bateri jika anda seorang yang ‘mobile’. Jika anda ingin menjimatkan penggunaan bateri, matikan fungsi connectivity seperti Wifi atau Bluetooth kerana fungsi tersebut akan banyak menggunakan tenaga dari bateri.

Service yang disediakan dan alatganti

Ketika hendak membeli laptop, jangan lupa untuk mempertimbangkan service yang disediakan oleh syarikat pengeluar laptop tersebut seperti warranty dsbnya. Terdapat syarikat pengeluar yang menyediakan khidmat servis dan pembaikian dirumah. Mereka juga ada yang menyediakan khidmat ‘home collection’ and ‘home delivery’ sewaktu kita mahu membuat warranty claim. Dan satu perkara lagi, jangan memilih laptop yang alatganti-nya amat susah untuk dicari.

Kerajaan Kekurangan Dana, Kerja Guru Baru Dibeku Tahun Depan?

Mintak maaf saya katakan awal-awalnya, kebanyakan graduan perguruan hari ini hanya memenuhkan peluang kerjaya semata. Sedangkan kerja guru itu sebenarnya merupakan antara aspek terpenting dalam menentukan halatuju dan masa depan negara daripada segi pembentukan anak-anak muda masa kini.

Mereka kadang-kadangnya yang masuk bidang perguruan ini bukan kehendak mereka awalnya, tetapi “terpaksa” kerana ia menjadi pilihan terakhir bagi mendapatkan peluang kerjaya.

Yang kerja guru hari ini boleh dikatakan seperti satu pakej mee segera(bukan semua, tapi kebanyakannya). Tugas guru bukan sahaja setakat mengajar(masuk kelas, bla…bla…bla, kemudian keluar) tetapi dalam masa yang sama bakal-bakal guru perlu diajar bagaimana untuk “mendidik” anak-anak muda hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr. Zakaria Kasa mengeluarkan kenyataan dengan memaklumkan semua penempatan lepasan UPSI ke sekolah-sekolah terpaksa dibeku bermula 2010.



Pembekuan semua penempatan ke sekolah-sekolah ini dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melibatkan semua institusi yang mengeluarkan bakal-bakal guru bukan sahaja di UPSI malah di IPTA lain yang menawarkan program pendidikan termasuk Institut Perguruan (IPG) di seluruh negara berikutan masalah kewangan yang dialami pihak Kerajaan Malaysia. Manakala penempatan untuk graduan bagi kerja guru pada tahun ini tidak mengalami masalah kerana tindakan membekukan penempatan tersebut hanya bermula tahun hadapan.

Beliau pada awalnya mengambil langkah untuk tidak mengumumkannya kepada pelajar kerana bimbang menjejaskan motivasi pelajar untuk meneruskan pengajian namun bertukar fikiran dengan mengumumkannya semalam kerana beranggapan perkara tersebut harus diketahui semua pihak sebagai langkah persediaan.(Nasib baik beritahu dan memang patut diberitahu pun kerana itu hak mereka)

Itulah yang dikatakan sekarang, kuantiti melebihi kualiti. Itu yang jadi pada bakal guru pada hari ini, tangkap muat sahaja. Yang aniaya, anak-anak yang bersekolah. Lebih-lebih yang terkebelakang seperti anak-anak dari Sabah & Sarawak. Dahla…ketinggalan, dihantarnya pula guru-guru baru yang masih mentah dalam bidang pendidikan mengajar di sana. Erm…….


Masalah seperti terdapat graduan keluaran UPSI dan IPTA lain yang tamat pengajian bermula tahun hadapan, perlu menunggu selama 2 tahun untuk kerja guru sebelum ditempatkan ke sekolah-sekolah adalah merupakan masalah yang sinonim berlaku dalam skop perguruan pada hari ini dan juga apabila
kementerian pendidikan berpecah menjadi kementerian pengajian tinggi dan kementerian pelajaran.


Sumber : Berita Semasa

Monday, July 26, 2010

Maklumat Asas Sekolah

Nama Sekolah: Sekolah Kebangsaan Serumbu
Kod Sekolah: YBB1109
Alamat Sekolah: D/A Pejabat Pelajaran Daerah Bau, 94000 Bau, Sarawak.
No.Telefon: 082-699785
Email: serumbu@gmail.com
Gred: A
Lokasi: Luar Bandar
Sesi : 1 sesi (Pagi)
Nama Guru Besar: En.Biden Anak Mesui
Bilangan Guru: Terlatih = 17 Orang
GSTT = 2 orang
Jumlah = 19 orang
Bil. Staf sokongan: 4 orang
Enrolmen murid : 134 orang
Bilangan Kelas : 6 buah kelas (Tahun 1 - 6)
Bil. Kelas Prasekolah : 2 buah kelas (49 orang murid)

Sunday, July 25, 2010

SEJARAH SEKOLAH


Slide 2
S.K. Serumbu terletak di Kampung Sega Bau. Jauhnya dari Simpang Jalan Kuching / Bau ialah 2.6 km. Sekolah ini ditubuhkan pada tahun 1958 dengan enrolmen seramai 22 orang murid yang berumur tujuh hingga sembilan tahun. Nama asal sekolah ini ialah Serumbu District Council School. Namanya ditukarkan kepada Sekolah Rendah Kerajaan Serumbu apabila Kementerian Pendidikan Malaysia mengambilalih pentadbiran semua sekolah di bawah Majlis Tempatan. Nama sekolah ini berasal dari sebuah gunung yang berdekatan. Hari ini sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Serumbu, Bau.