Tuesday, August 16, 2011

Pendaki Solo galak pelajar aktif kokurikulum

Sebahagian pelajar mengambil peluang untuk bergambar kenangan dengan Mohd Noor Mat Amin (empat dari kiri) dan Tiara Jacquelina selepas majlis perasmian Hari Kokurikulum SMK Seksyen 4, Kota Damansara, Selangor, baru-baru ini.

PENDAKI Solo Negara yang juga jurugambar Utusan Malaysia, Mohd. Noor Mat Amin berkongsi pengalaman mengenai kejayaan mencipta rekod dunia mendaki gunung Kinabalu sebanyak 111 kali dalam tempoh 111 hari kepada 1,500 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 4, Kota Damansara, baru-baru ini.

Beliau memberi suntikan semangat kepada pelajar supaya berdedikasi menghadapi cabaran dan rintangan untuk mencapai kejayaan.

Pada masa yang sama, Mohd. Noor turut menyarankan kepada pelajar agar menyedari bertapa pentingnya kegiatan kokurikulum di sekolah dan ia tidak harus diabaikan.

“Ibu bapa dan guru-guru harus berganding bahu untuk melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek supaya dapat melahirkan modal insan holistik di samping menggalakkan para pelajar aktif dalam aktiviti kokurikulum.

“Usaha murni Kementerian pelajaran dalam program satu murid satu sukan juga dilihat sebagai langkah yang positif untuk menggalakkan pelajar terlibat secara aktif dalam kegiatan kokurikulum,” katanya.

Selain itu, ujarnya, penglibatan pelajar dalam pelbagai kegiatan kokurikulum juga dapat mengisi masa lapang dan boleh membendung kegiatan yang tidak bermoral.

Aktiviti lain turut diadakan seperti pertandingan karom, basikal lambat, bola tampar, bola keranjang, sumpit dan memasak.

Turut memberi suntikan semangat kepada pelajar pada majlis itu ialah artis popular, Datin Seri Tiara Jacquelina.

Eduweb TV catat 500,000 pengguna Internet rumah sebulan

KLANG 15 Ogos - Portal EduwebTV yang diperkenalkan Kementerian Pelajaran sejak 2008 mendapat sambutan menggalakkan apabila mencatatkan purata 500,000 capaian sebulan dengan 33 peratus membabitkan pengguna Internet dari rumah.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, capaian tersebut dijangka dapat dipertingkatkan lagi apabila kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus capaian Internet dari rumah menjelang hujung tahun ini.

"Para pelajar yang menerima komputer riba 1Malaysia daripada kerajaan juga digalakkan menggunakan kemudahan yang diberikan itu bagi melayari portal EduwebTV yang dilihat dapat membantu mereka meneruskan pelajaran dari rumah di samping memudahkan mereka memperoleh maklumat dengan cepat, luas serta menyeluruh.

''Sebanyak satu juta unit komputer riba 1Malaysia yang sudah dan bakal diedarkan kepada pelajar terpilih untuk kemudahan pembelajaran yang salah satu daripadanya ialah mengikuti program EduwebTV yang mempunyai lapan saluran dan 3,185 rancangan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan komputer riba 1Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Idris Shah di sini, hari ini.

Mohd. Puad berkata, rancangan yang boleh diikuti menerusi EduwebTV ialah berita pendidikan bahasa Inggeris dan Malaysia, rancangan akademik, rencana, wawancara, kurikulum, interaktif dan siaran langsung arkib.

Terdahulu beliau menyerahkan sebanyak 667 komputer riba 1Malaysia kepada 12 sekolah di sekitar Parlimen Kapar, antaranya SMK Rantau Panjang, SMK Sungai Kapar Indah dan SMK Tinggi Klang.

Seorang penerima, S.Ranjini, 19, dari SMK Tinggi Klang berkata, pemberian komputer riba itu memudahkannya mendapat maklumat yang dikehendaki dengan cepat di samping membolehkannya memuat turun soalan-soalan peperiksaan yang lalu untuk rujukan.

''Selain itu, ia juga membolehkan saya mencari kenalan baru dari negeri lain dan bertukar pendapat," katanya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini.

Seorang lagi penerima, Muhammad Amirul Hizmi Adnan, 15, dari SMK Sungai Kapar Indah berkata, komputer riba itu akan digunakan dengan sebaik mungkin sebagai persediaan menghadapi Penilaian Menengah Rendah (PMR).

''Saya gembira kerana dipilih sebagai penerima komputer riba dan dengan adanya kemudahan itu, saya dapat memperoleh maklumat di hujung jari sahaja di samping membantu mempersiapkan diri saya menghadapi peperiksaan," katanya.

Sunday, March 6, 2011

Kursus Kenegaraan dimansuh

KUALA LUMPUR: Kursus Kenegaraan yang menjadi syarat wajib kepada penjawat awam untuk menerima anjakan gaji, dimansuhkan selaras pemansuhan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Mengikut surat edaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 17 Februari lalu, kursus kenegaraan dikecualikan kepada pegawai yang lulus PTK di Tahap Kecekapan 1 (TK1) dan pegawai yang mendapat aras IV di TK1, sekali gus melayakkan mereka dipertimbangkan anjakan gaji tahun ini.

Surat edaran bertajuk ‘Pengecualian Syarat Kursus Kenegaraan di TK1 dan Urusan Kenaikan Pangkat Selepas Pemansuhan PTK’ ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah menjelaskan pelaksanaan urusan kenaikan pangkat mulai 1 Januari lalu perlu diselaraskan terutama membabitkan pencapaian PTK.

Katanya, tarikh kenaikan pangkat pegawai yang lulus PTK adalah berdasarkan tarikh memangku atau tarikh lulus PTK iaitu mana yang terkemudian, manakala bagi pegawai yang belum lulus PTK, kenaikan pangkat berkuat kuasa selepas 1 Januari 2011.

Ketetapan itu hendaklah digunakan dalam menetapkan tarikh kenaikan pangkat pegawai yang terbabit ketika memperakukan kepada Lembaga Kenaikan Pangkat yang berkenaan sehingga ketetapan baru dikeluarkan.

“Ketua perkhidmatan atau ketua jabatan dalam menimbangkan pegawai bagi urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat boleh memberi keutamaan kepada pegawai yang lulus PTK tetapi ia juga tertakluk kepada syarat skim, merit, kesesuaian dan kepentingan perkhidmatan serta kriteria lain yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat,” katanya.
Awal bulan lalu, Berita Harian melaporkan dakwaan CUEPACS mengenai beratus penjawat awam yang berhak mendapat kenaikan gaji RM200 hingga RM400 sebulan selepas lulus PTK aras IV tahun lalu, tidak mendapatnya berikutan tindakan Biro Tatanegara (BTN) menghentikan Kursus Kenegaraan.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, dilaporkan berkata penjawat awam terbabit tidak menerima sebarang makluman daripada BTN berhubung kursus itu sehinggalah pihaknya menghubungi mereka dan dimaklumkan kursus berkenaan dihentikan sehingga Jun depan.

Lok yang menghubungi Berita Harian, kelmarin berkata pengecualian kursus kenegaraan akan memberi faedah kepada beribu penjawat awam yang sedang menunggu kenaikan pangkat, tetapi penjawat awam masih terikat dengan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) dan perakuan ketua jabatan untuk melayakkan mereka menerima anjakan gaji.