Tuesday, August 16, 2011

Pendaki Solo galak pelajar aktif kokurikulum

Sebahagian pelajar mengambil peluang untuk bergambar kenangan dengan Mohd Noor Mat Amin (empat dari kiri) dan Tiara Jacquelina selepas majlis perasmian Hari Kokurikulum SMK Seksyen 4, Kota Damansara, Selangor, baru-baru ini.

PENDAKI Solo Negara yang juga jurugambar Utusan Malaysia, Mohd. Noor Mat Amin berkongsi pengalaman mengenai kejayaan mencipta rekod dunia mendaki gunung Kinabalu sebanyak 111 kali dalam tempoh 111 hari kepada 1,500 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 4, Kota Damansara, baru-baru ini.

Beliau memberi suntikan semangat kepada pelajar supaya berdedikasi menghadapi cabaran dan rintangan untuk mencapai kejayaan.

Pada masa yang sama, Mohd. Noor turut menyarankan kepada pelajar agar menyedari bertapa pentingnya kegiatan kokurikulum di sekolah dan ia tidak harus diabaikan.

“Ibu bapa dan guru-guru harus berganding bahu untuk melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek supaya dapat melahirkan modal insan holistik di samping menggalakkan para pelajar aktif dalam aktiviti kokurikulum.

“Usaha murni Kementerian pelajaran dalam program satu murid satu sukan juga dilihat sebagai langkah yang positif untuk menggalakkan pelajar terlibat secara aktif dalam kegiatan kokurikulum,” katanya.

Selain itu, ujarnya, penglibatan pelajar dalam pelbagai kegiatan kokurikulum juga dapat mengisi masa lapang dan boleh membendung kegiatan yang tidak bermoral.

Aktiviti lain turut diadakan seperti pertandingan karom, basikal lambat, bola tampar, bola keranjang, sumpit dan memasak.

Turut memberi suntikan semangat kepada pelajar pada majlis itu ialah artis popular, Datin Seri Tiara Jacquelina.

No comments:

Post a Comment